HomeGlobalBakar al-Quran: Setiausaha Agung PBB nyatakan solidariti dengan masyarakat Islam

Bakar al-Quran: Setiausaha Agung PBB nyatakan solidariti dengan masyarakat Islam

 

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan solidariti dengan masyarakat Islam sedunia dalam pertemuannya dengan Kumpulan Duta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Khamis.

Pertemuan itu dibuat selepas Salwan Momika membakar naskhah kitab suci umat Islam di bawah perlindungan polis di hadapan Masjid Stockholm di Sweden bulan lalu, yang dikecam secara meluas di negara-negara Islam.

Guterres mengecam tindakan tidak bertoleransi, ganas dan Islamofobia, yang memburukkan lagi ketegangan dan menyumbang kepada diskriminasi dan radikalisasi, kata jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Beliau juga menyatakan keazaman PBB untuk melaksanakan sepenuhnya Resolusi Majlis Hak Asasi Manusia mengenai “menentang kebencian agama yang membentuk hasutan kepada diskriminasi, permusuhan atau keganasan.”

Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang berpangkalan di Geneva pada 12 Julai mengutuk serangan baru-baru ini terhadap al-Quran walaupun negara-negara Barat mengundi menentang resolusi itu.

Resolusi itu, yang menyeru kecaman terhadap serangan yang menyasarkan al-Quran dan menggambarkannya sebagai “tindakan kebencian agama,” telah diundi oleh majlis 47 anggota. – Anadolu Agency

Author

Pilihan Editor