BANGI: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan pengkhianat parti tidak akan mendapat tempat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan berlangsung bulan hadapan.
Dalam tradisi dan budaya Melayu, Anwar berkata, manusia dibenarkan berperang dan memiliki perbezaan pendapat, namun perbuatan mengkhianat itu tidak boleh diterima sama sekali.
“Kalau ada pengkhianat kita buang dia, ‘rumah dia dan tanah dia sekali‘.
“Dan dalam PRN Selangor, pastikan pengkhianat itu dimatikan politiknya, ‘dirobohkan rumahnya, dikaut tanah dicampak ke laut’,” katanya ketika melancarkan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perpaduan Selangor di sini pada Jumaat.
Meskipun tidak menyebut nama pengkhianat tersebut, namun ia dipercayai ditujukan buat bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa bekas ahli PKR yang berpaling tadah.
Pada Februari 2020, Azmin dan beberapa pemimpin PKR yang lain dipecat sebagai anggota parti kerana dianggap sebagai pengkhianat dan mampu menjejaskan kestabilan PH.
Gandingan Azmin dan beberapa bekas Ahli Parlimen PKR bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Barisan Nasional (BN) ketika itu membawa kepada pembentukan kerajaan baharu di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini seterusnya menyebabkan pentadbiran PH selama 22 bulan runtuh.
Dalam pada itu, Anwar mahu semua jentera parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan bekerja keras demi memastikan kemenangan gabungan itu pada PRN.
Oleh itu, katanya, Selangor perlu menjadi pembuka lembaran baharu politik negara dengan gerak kerja yang lebih padu dan tersusun daripada semua ahli dan penyokong.
“Selangor adalah negeri yang ramai dengan orang yang cerdik pandai serta matang dalam politik…Negeri ini akan menentukan standard baharu politik di dalam negara ini.
“Jadi kita mahu setiap gerak kerja yang dibuat perlulah dengan semangat, keikhlasan selain niat yang betul untuk menyelamatkan rakyat, negeri, agama dan negara daripada mereka yang rakus kuasa,” ujarnya.