SATU kejutan buat pemilik kedai menjual ayam, apabila menemukan seorang bayi perempuan di lantai premisnya ketika mahu memulakan perniagaan pada Khamis.
Dalam kejadian pukul 7.50 pagi di kawasan Jabur Kubur, Jalan Air Putih dekat Chukai, Terengganu itu, bayi cukup sifat dan masih bertali pusat berkenaan dipercayai dilahirkan dalam tempoh tiga atau empat hari.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, bayi dianggar seberat 3.2 kilogram (kg) itu dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut.
“Bayi berada dalam keadaan sihat dan polis giat mengesan suspek yang membuang bayi terbabit,” katanya memetik laporan media tempatan.
Hanyan berkata, klinik sekitar daerah ini sudah dihubungi dan diminta memaklumkan kepada polis sekiranya menerima pesakit yang baru melahirkan bayi.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.