SEORANG doktor dan anak perempuannya ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan kes pembunuhan di Susukino, Sapporo, dekat Hokkaido, Jepun.
Dua beranak itu disyaki memenggal kepala seorang lelaki, sebelum membawa anggota terputus itu keluar dari sebuah hotel pada 2 Julai lalu.
Pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan dan mengenal pasti hubungan antara Osamu Tamura, 59; Runa, 29, dan mangsa dikenali sebagai Hitoshi Ura, 62, yang ditemui dalam keadaan berbogel dan tidak berkepala di bilik air hotel.
Polis percaya, Runa dan Ura saling mengenali antara satu sama lain, namun enggan mendedahkan sama ada suspek sudah mengaku bersalah atas dakwaan itu.
Pada kira-kira jam 10.50 malam 1 Julai lalu, Ura dan seorang lagi individu dipercayai Runa mendaftar masuk ke hotel itu.
Osamu yang juga pakar psikiatri di sebuah hospital di Sapporo disyaki menghantar dan menjemput anak perempuannya di premis tersebut.
Polis juga percaya, Osamu tidak memasuki bangunan itu.
Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati, punca kematian akibat kehilangan darah selepas ditikam, sementara kepala Ura dipenggal menggunakan pisau dan dilarikan dari lokasi kejadian.
Menurut siasatan, individu yang menemani Ura untuk memasuki bangunan itu dilihat bertubuh kecil, memakai pakaian berwarna cerah dan bertopi, namun berpakaian hitam ketika keluar.
Susukino terkenal dengan penginapan sementara yang dikenali sebagai ‘hotel cinta’.
Hotel cinta di Jepun biasanya menampilkan bilik bertema dan mengenakan bayaran mengikut jam.
Ia sering digunakan pasangan yang mencari tempat untuk melakukan hubungan seks.
Kira-kira 4,900 hotel cinta kini beroperasi di Jepun.
Hotel tersebut juga tidak memerlukan tetamu yang mendaftar masuk untuk memberikan kad pengenalan dan mendedahkan identiti, menurut agensi berita Kyodo News.