CYBERJAYA: Onar yang dibuat vokalis kumpulan The 1975, Matt Healy semasa melakukan persembahan atas pentas di konsert The Good Vibes Festival membuatkan baki festival itu dibatalkan serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitter rasminya hari ini.
“Justeru, saya telah mengarahkan PEMBATALAN SERTA MERTA baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai.
“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket.
“Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket,” tulisnya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menegaskan bahawa pihak kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara.
“Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan,” ujarnya.
Semalam, Matt Healy mengundang kemarahan rakyat Malaysia apabila mencetus kontroversi dengan menghina undang-undang Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di negara ini ketika membuat persembahan di atas pentas di festival terbabit.
Malah, penyanyi itu dengan sengaja bercium dengan rakan sekumpulannya, Ross McDonald di atas pentas sebagai tanda protes.
Susulan kejadian mengejutkan itu, The 1975 tidak dibenarkan meneruskan persembahan mereka.
Official statement from @goodvibesfest pic.twitter.com/VZStyVXTHc
— Good Vibes Festival (@GoodVibesFest) July 22, 2023