HomeGlobalLagi kes provokasi al-Quran, kali ini dicampak, dibakar di depan masjid Jerman

Lagi kes provokasi al-Quran, kali ini dicampak, dibakar di depan masjid Jerman

SENASHKAH al-Quran dibakar dan dicampak di hadapan sebuah masjid di barat daya Jerman, kata Kesatuan Turkiye-Islam untuk Hal Ehwal Agama (Ditib) pada Isnin.

Memetik laporan Reuters, kitab suci Islam itu dipercayai dicampak dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak di hadapan Masjid Mimar Sinan di Maulbronn, dekat Baden-Wurttemberg.

Pengarah Persatuan Masjid, Osman Adibelli berkata, kejadian tersebut berlaku Sabtu lalu.

“Kami sudah pun meneliti rakaman di masjid tersebut dan kami dapati ada sebuah objek dicampak dari sebuah kenderaan. Sekitar pukul 4.45 pagi, para jemaah yang datang untuk solat Subuh menyedari al-Quran itu masih terbakar di pintu masuk masjid,” katanya.

Justeru, katanya, mereka sudah memfailkan aduan jenayah berhubung kejadian itu dan menambah: “Disebabkan pantulan lampu hadapan kenderaan menghampiri bahagian hadapan masjid, kami tidak tahu nombor plat atau berapa ramai individu yang terlibat dalam serangan itu.”

Sambil menzahirkan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap serangan itu, Osman mengumumkan bahawa siasatan juga sudah dilancarkan.

Insiden itu berlaku susulan beberapa kes pembakaran al-Quran di pelbagai negara Eropah.

Ini termasuk kes pembakaran al-Quran baru-baru ini yang dibakar di hadapan sebuah masjid di Sweden dengan kebenaran pihak polis, seterusnya menimbulkan kecaman penduduk antarabangsa.

Pemimpin dan ahli politik Islam menegaskan bahawa provokasi seperti itu tidak dilindungi undang-undang kebebasan bersuara.

Author

Pilihan Editor