AMPANG: Lelaki yang dituduh menunggang motosikal secara melawan arus hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Ducati diperintah untuk menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta Perak.
Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai seorang pemandu lori, Mudzyadaha Mohamad, 42, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top di Mahkamah Majistret Ampang.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 14 Jun 2023 jam 1.10 di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) sebagai penunggang motosikal Yamaha telah menunggang kenderaan itu dengan cara melawan arus jalan setelah mengambil tentang segala hal keadaan berbahaya kepada awam telah menyebabkan kematian terhadap penunggang motosikal bernama Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.
Dia dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang dari Rm20,000 dan tidak melebihi daripada RM50,000.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran manakala tertuduh diwakili peguam Izleen Ismail daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Izleen Ismail memaklumkan bahawa tertuduh merupakan seorang pesakit mental dan meminta tertuduh untuk menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia.
“Tertuduh merupakan pesakit mental dan fakta ini telah disahkan melalui surat rujukan yang dikeluarkan oleh seorang doktor di Hospital Kajang.
“Tertuduh juga mengambil ubat jenis Lorazepam yang merupakan ubat psikiatri. Ini membuktikan pada tarikh kejadian, tertuduh telah tidak dapat berfikir dengan waras.
“Justeru, saya dengan rendah diri memohon mahkamah menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk menghantar tertuduh bagi penilaian psikiatri di Hospital Bahagia,” kata peguam seperti dilapor Harian Metro.
Izleen juga memohon jaminan minimum dibenarkan ke atas tertuduh memandangkan anak guamnya itu seorang OKU mental yang mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain mengalami tekanan akibat kesempitan wang bagi menampung keluarga.
“Akibat daripada kesempitan wang dan faktor ekonomi yang meruncing, tertuduh mengalami tekanan yang bertambah pada setiap hari kerana beliau hanya memandu lori yang berpendapatan RM2,200 sebulan dan perlu menyara tiga orang anak, manakala isterinya tidak bekerja,” kata Izleen.
Amalina Basirah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi penilaian psikiatri.
Beliau turut memerintahkan tertuduh agar melapor diri di balai polis berhampiran tempat tinggal sekali setiap bulan serta perlu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan dan laporan penilaian mental.
Pada 14 Jun lalu, media melaporkan penunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.
Dalam kejadian itu, mangsa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian kira-kira 30 meter.