HomeBeritaJual beli dadah guna 'dark web' makin popular - AADK

Jual beli dadah guna ‘dark web’ makin popular – AADK

PUTRAJAYA: Aktiviti jual-beli dadah semakin membimbangkan apabila ada yang melakukan transaksi itu secara dalam talian menerusi laman web gelap (dark web).

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, pembelian melalui laman web itu dilihat semakin popular dan dikesan aktif di negara ini.

Selain itu, katanya, pembelian juga dilakukan menerusi aplikasi seperti WhatsApp dan Telegra,

“Sekarang ini selain pergi kepada tokan, mereka boleh buat pesanan (dadah) dan dihantar terus ke rumah.

“Itu yang perlu diberi perhatian ibu bapa untuk lihat bungkusan yang ada di dalam rumah supaya boleh lihat dan tapis (cegah penyalahgunaan dadah),” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 2023, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Perdana Putra.

Mengambil maklumat daripada klien-klien AADK, Sutekno berkata, individu yang mengambil dadah secara ‘suka-suka’ mengaku membelanjakan sekitar RM50 bagi setiap tiga hari sebagai permulaan, manakala jumlah tersebut dianggar meningkat berdasarkan tahap keparahan individu tersebut.

Katanya, klien AADK turut memberitahu bahawa, harga dadah adalah mengikut keasliannya serendah RM18 termasuk kos penghantaran.

“Pihak berkuasa sedang berunding dengan kementerian yang menyelia perkara ini untuk dikaji dan dilaksanakan untuk diregulisasi,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Sutekno berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi AADK sedang mengesan sekitar 1.097 penagih dadah di seluruh negara dalam usaha memberi rawatan dan pemulihan kepada kumpulan tersebut.

Setakat tahun lalu, pihaknya sudah mengesan seramai 123,139 penagih dadah di negara ini, dengan penglibatan golongan belia dalam penagihan dadah dikategorikan sebagai membimbangkan.

 

Author

Pilihan Editor