BULAN lalu, mayat Brandon Lee Buschman ditemui di dalam peti sejuk beku di ruang bawah tanah sebuah rumah di Minnesota sehingga menimbulkan banyak persoalan.
Kini, penyiasat percaya lelaki berusia 34 tahun itu masuk sendiri ke dalam peti sejuk untuk bersembunyi daripada polis, menurut laporan awal.
“Buschman kali terakhir dilihat oleh mereka yang berada di rumah itu melarikan diri dari kawasan tingkat atas rumah kerana kemungkinan kehadiran polis berhampiran kediaman itu,” kata Ketua Polis, Gilbert Ty Techar pada Jumaat.
“Buschman mempunyai waran tertunggak aktif untuk penahanannya.”
Tidak jelas berapa lama Buschman berada di dalam peti sejuk itu, tetapi ia tidak lagi berfungsi apabila mayatnya ditemui.
Kemudahan utiliti rumah itu diputuskan pada April 2022 dan rumah itu telah dirampas pada Februari 2023, walaupun polis berkata, mereka percaya kediaman itu masih mempunyai penghuni di dalamnya.
Polis menyifatkan peti sejuk itu sebagai “model lama” yang hanya boleh dibuka dari luar, menyebabkan Buschman berkemungkinan terperangkap selepas dia masuk ke dalamnya.
Natijahnya, siasatan polis tidak mengesyaki ada unsur jenayah dalam kematiannya.