PENYANYI, Hasif Upin menafikan kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa dia mahu menumpang populariti Ziana Zain, yang sudah lama membina nama dalam industri hiburan.
Hasif atau Hasif Sharuddin, 31, berkata, dia sudah memiliki pengikut tersendiri di laman TikTok sebelum dikenali dengan lagu berjudul Waktu, yang menampilkan dirinya berduet dengan Ziana.
“Ziana juga ada peminat tersendiri, jadi tiada istilah menumpang populariti.
“Saya juga sudah berlakon dalam filem produksi Indonesia berjudul Paku Tanah Jawa yang bakal ditayangkan Disember nanti,” katanya seperti dilapor Mstar.
Pada masa sama, Hasif mengakui terkesan dengan komen sesetengah pihak yang menganggap dirinya tidak layak untuk berduet dengan Ziana.
Gara-gara itu, dia pernah terfikir untuk menamatkan karier nyanyian selepas terasa hati dengan kritikan netizen.
Akibat daripada itu juga, dia tidak dapat memberikan persembahan terbaik ketika muncul dalam sebuah program televisyen.
“Saya pernah menyanyi dalam keadaan menggigil ketika muncul dalam sebuah program sebelum ini. Ketika itu saya baru terbaca komen negatif di media sosial, jadi ia sedikit mengganggu. Saya pula sebelum ini memang suka baca ruangan komen.
“Banyak komen yang diterima mengatakan saya tidak layak untuk berduet dengan Ziana Zain. Perkara itu membuatkan saya berkecil hati dan rasa mahu berhenti jadi penyanyi,” katanya.
Hasif bagaimanapun berkata,semangatnya kembali memuncak selepas menerima kata-kata sokongan daripada Ziana dan pihak pengurusan.
Malah, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi membaca komen di media sosial, malah lebih memberi fokus kepada kerjaya seni.