PERTEMUAN secara maya antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jutawan, Elon Musk pada Jumaat membincangkan tentang pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit Starlink.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan mengalu-alukan minat serta keputusan pelaburan syarikat itu ke Malaysia serta kesediaan Musk untuk datang ke negara ini.
Beliau berkata, Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla juga akan dibuka di Selangor tahun ini.
“Hari ini saya mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk. Beliau juga adalah CEO Tesla Inc.
“Turut mengucap tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor tahun ini,” katanya turut menyatakan kerajaan memberi dokongan atas pembukaannya itu
Pertemuan itu bermula pada jam 9.30 pagi dan berlangsung selama kira-kira 25 minit.
Sidang maya itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas.
“…terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minimum bagi meningkatkan rangkaian internet global.
“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions‘ seawal-awalnya pada tahun 2050.
“Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya.
Tesla Inc adalah multinasional Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di yang beribu pejabat di Austin, Texas yang terbabit dalam bidang automotif, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga bersih.
Syarikat dan pengeluar kenderaan paling bernilai di dunia dan mempunyai lebih 120,000 pekerja di seluruh dunia, mereka bentuk dan mengeluarkan EV (kereta dan trak), simpanan tenaga bateri dari rumah ke skala grid, panel solar serta produk dan perkhidmatan berkaitan.
Tesla akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini.