HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis ambil keterangan individu gaduh di pangsapuri Tampoi

Polis ambil keterangan individu gaduh di pangsapuri Tampoi

 

POLIS sudah mengambil keterangan daripada saksi dan individu terlibat bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di sebuah pangsapuri di Tampoi, dekat Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian itu ada kaitan dengan dua laporan polis dibuat oleh individu terlibat pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah tiga peruntukan antara lain Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada mana-mana hukuman itu jika sabit kesalahan.

“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Malah, kes turut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan isu yang boleh memberi implikasi kepada keharmonian.

Sebaliknya, katanya, masyarakat perlu bersikap rasional dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi serta tidak melakukan sebarang perbuatan melulu yang menyalahi undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Shazril Salim di talian 016-3425316,” katanya.

Terdahulu, media sosial sejak Ahad tular dengan insiden pergaduhan antara dua jiran di sebuah pangsapuri.

Menerusi klip berdurasi dua minit 18 saat itu, seorang individu lelaki dilihat sedang mengamuk dan berada di hadapan pagar sebuah unit rumah di bangunan berkenaan.

Lelaki tersebut yang memegang kayu besbol itu turut ditemani seorang wanita yang dipercayai merupakan ahli keluarganya.

Individu itu juga didapati memukul pagar dengan kayu tersebut, selain membuat ancaman dan turut merosakkan rak kasut yang diletakkan di luar unit kediaman berkenaan.

Pada masa sama, beberapa penghuni yang berada di dalam rumah tersebut dilihat turut berang dengan tindakan lelaki tersebut.

Bagaimanapun, mereka pada awalnya terus kekal berada di dalam rumah, sebelum salah seorang daripadanya bertindak keluar dan bertumbuk dengan lelaki terbabit.

 

Author

Pilihan Editor