HomeBeritaPolitikPRN: Hari penamaan calon 29 Julai, Hari mengundi 12 Ogos - SPR

PRN: Hari penamaan calon 29 Julai, Hari mengundi 12 Ogos – SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos 2023 sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos ini.

Parti-parti politik diberi tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga pukul 11.59 malam, 11 Ogos 2023.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata, seramai lebih 9.7 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di enam negeri berkenaan.

“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas hari ini dan memutuskan satu PRN ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan dewan berikut: 36 Dewan Undangan Negeri Kedah, 45 DUN Kelantan, 32 DUN Terengganu,40 DUN Pulau Pinang, 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan.

“Bagi maksud menjalankan PRN, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti berikut:

“Tarikh keluar writ pada 5 Julai, Hari penamaan calon 29 Julai, Hari mengundi awal 8 Ogos dan hari mengundi pada 12 Ogos,” katanya dalam sidang akhbar PRN di menara SPR, di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Abdul Ghani mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRN selepas suruhanjaya itu menerima notis pembubaran rasmi DUN keenam-enam negeri itu daripada Speaker DUN masing-masing.

Sebanyak 245 kerusi DUN melibatkan enam negeri akan dipertandingkan pada PRN kali ini.

Author

Pilihan Editor