KUALA TERENGGANU: Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron menasihatkan individu yang terambil sebahagian wang tunai RM30,000 milik seorang tukang gunting yang tercicir di Kampung Lak Lok, Besut pada minggu lalu agar segera memulangkannya.
Tegasnya, perbuatan mengambil wang orang lain tanpa kebenaran adalah haram dan berdosa besar.
“Haram hukumnya sebab bukan hak kita walaupun ambil sedikit, satu sen sekalipun.
“Orang yang sudah mengambil wang berkenaan, kena cari balik tuan punya, kembalikan wang itu kepada yang berhak. Itu sepatutnya dilakukan,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.
Terdahulu, Wan Ibrahim Wan Leh, 24, kemurungan selepas mendakwa wang tunai RM30,000 yang merupakan sebahagian simpanannya sejak empat tahun lalu tercicir di Jalan Kota Bahru-Kuala Terengganu berhampiran Kampung Lak Lok di sini pada minggu lalu.
Wang tunai yang didakwa diletakkan tanpa sengaja di atas but kereta Honda Civic dipandu tukang gunting itu pada pukul 11 pagi.
Setakat ini, cuma kira-kira RM1,000 wang tunai yang tercicir tersebut telah dipulangkan semula kepada keluarga Wan Ibrahim.
Mohamad Sabri memberitahu, berdasarkan sejarah, Nabi Muhammad pernah melarang seorang sahabat yang ingin mengambil tali kasut yang merupakan harta rampasan perang belum diagihkan (harta ghanimah) selepas berakhirnya satu peperangan.
Jelas beliau, Rasulullah menegah demikian kerana perbuatan tersebut haram yang dilarang Islam. – KOSMO