HomeBeritaSelangor antara negeri terawal terima bantuan SARA pada Isnin

Selangor antara negeri terawal terima bantuan SARA pada Isnin

CYBERJAYA: Lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM600 mulai Isnin ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, sumbangan itu diberikan kepada individu dalam kategori miskin tegar berdasarkan data e-Kasih bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas.

Dalam pada itu, MOF berkata, pelaksanaan SARA dibuat pada tarikh dan kaedah berbeza di setiap negeri.

Pada 17 Julai, negeri yang terlibat adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, pada 31 Julai, pelaksanaan SARA membabitkan Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor.

“Kaedah pelaksanaan bagi kesemua negeri ini berupa bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai (cashless) berjumlah RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan, iaitu bermula Julai hingga Disember 2023.

“Ia akan dilaksanakan secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima bagi pembelian di pasar raya atau kedai runcit terpilih seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, SARA akan dilaksana kepada penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 7 Ogos depan.

Bayaran RM600 sekali gus akan dibuat melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.

Sebarang soalan dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat lanjut
mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui https://www.mykasih.com.my.

Author

Pilihan Editor