HomeGlobalSuami hilang berbulan-bulan ceraikan isteri kerana ‘terlalu baik’

Suami hilang berbulan-bulan ceraikan isteri kerana ‘terlalu baik’

JAKARTA: Seorang wanita di Indonesia kecewa menerima surat perceraian daripada suaminya selepas berbulan-bulan dia mencari lelaki itu yang tiba-tiba menghilang, lapor portal berita Wolipop hari ini.

Suryani Wahyu Lestari menceritakan kisah sedih itu di laman TikTok.

“Berkahwin pada 24 Januari 2021 sebelum gagal (dalam perkahwinan) pada 2023. Pada awal perkahwinan, kami baik-baik sahaja dan dikenali sebagai pasangan romantis.

“Suatu hari, ada sesuatu berlaku membuatkan saya amat kecewa. Namun, saya masih memaafkan dia demi mempertahankan rumah tangga,” ujar Suryani.

Suami wanita itu mula hilang selepas dia keluar dari rumah mereka dengan alasan mahu menguruskan tanah milik pelanggannya.

“Katanya hanya sehari, namun masuk hari kedua, dia masih belum pulang. Saya hubungi ramai orang, namun semua tidak tahu keberadaannya.

“Hari ketiga dia hilang, saya membuat laporan polis. Saya pergi ke balai polis sambil menangis kerana kehilangan suami,” jelas Suryani.

Tambahnya, apa yang menghairankan dia adalah akaun media sosial suaminya masih aktif, yang membuatkan dia meninggalkan pesanan video kepada lelaki itu.

Namun, usaha Suryani sia-sia kerana suaminya tidak memberi sebarang maklum balas.

Selepas hilang selama beberapa bulan, Suryani akhirnya menerima khabar berita daripada suaminya. Lelaki itu mengirimkan surat memberitahunya hasrat untuk bercerai.

“Surat itu hasil tulisan tangannya sendiri. Katanya, dia mahu menceraikan saya dan tidak mahu bersama lagi kerana saya terlalu baik untuk dia,” ujar Suryani.

Tambah wanita itu lagi, mereka kini sah bercerai dari sudut agama, namun dia membuat keputusan mahu menyaman bekas suaminya kerana bertindak demikian.

Author

Pilihan Editor