AMPANG JAYA: Seorang lelaki dipercayai menunggang secara melawan arus sehingga mengakibatkan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal Ducati, 14 Jun lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Ampang Jaya pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang merupakan lelaki berumur 41 tahun dari Kajang, Selangor itu sebelum ini telah dirakam keterangan ketika membuat laporan di Balai Polis Trafik Kajang.
“Suspek sebelum ini telah dirakam keterangan pada 16 Jun lalu selepas tampil membuat laporan polis berkaitan kejadian.
“Suspek akan dihadapkan ke hadapan Majistret Mahkamah Ampang Jaya pada Isnin, jam 8.30 pagi untuk pertuduhan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
14 Jun lalu, seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang di sini.
Mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.
Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter.
Sebelum ini, polis sudah merakam percakapan enam saksi termasuk suspek selain kedua-dua motosikal iaitu milik mangsa dan suspek dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut. – Sinar Harian