SHAH ALAM: Datuk Seri Amirudin Shari dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya Kerajaan Perpaduan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu mengambil kira prestasi kerja dan rekod kerja yang memuaskan.
“Beliau juga membela nasib rakyat dan menyantuni rakyat.
“Kita telah melihat prestasi beliau yang membanggakan di antara menteri atau ketua menteri di negara kita,“ katanya berucap pada majlis pengumuman calon PKR PRN di Padang Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Sabtu.
Pada masa sama, Anwar mengumumkan untuk mengekalkan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang jika PRN akan datang berpihak kepada Kerajaan Perpaduan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas berpuas hati tentang cara Kon Yeow menyantuni rakyat tanpa mengira kaum.
“Watak ketokohan Kon Yeow adalah seorang prihatin untuk bekerja dengan semua kaum termasuk Cina, India dan orang asli.
“Saya harap ada dukungan kuat dan padu di Pulau Pinang,” ujarnya.
Sementara itu di Negeri Sembilan, Anwar berkata, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.
Katanya, ini kerana Aminuddin tiada ruang untuk menyatakan bahawa Menteri Besar sukar untuk ditemui dan disantuni.
Malah, keputusan itu turut mengambil kira kelangsungan cara kerja dan rekod prestasi yang memuaskan.
“Tetapi perbincangan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil masa yang lama untuk memutuskan perkara itu, “ katanya.
Berita lanjut menyusul.