HomeBeritaPolitik'Tak habis-habis sembang telur tak cukup, bagilah penyelesaian', kata Rafizi

‘Tak habis-habis sembang telur tak cukup, bagilah penyelesaian’, kata Rafizi

CYBERJAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihat untuk tidak mengulang tajuk sama berhubung isu kenaikan harga barang dalam setiap ceramahnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebaliknya menyarankan Muhyiddin untuk menawarkan penyelesaian sebenar jika PN mempunyai kaedah lebih baik berbanding kerajaan sekarang.

“Tan Sri Muhyiddin dalam ceramah-ceramah tak habis-habis sembang telur tak cukup. Paling kurang sebagai bekas Perdana Menteri, saya harapkan bila berceramah beliau boleh tawarkan penyelesaian dan cadangan untuk bantu ekonomi rakyat dan bukan cerita dia mula pelihara ayam.

“Cerita ayam dan telur tak cukup semua ini sebenarnya bermula dari zaman PN.

“Isu inilah yang berlaku sejak setahun yang lalu kerana kegagalan kerajaan pada ketika itu untuk tangani masalah ayam di peringkat bekalan (supply side),” katanya dalam hantaran di laman Twitter.

Rafizi mendakwa, kerajaan terdahulu bukan sahaja menetapkan harga siling, malah penternak-penternak turut tidak dibantu dan perlu menjual ayam pada harga ditetapkan dengan kos yang merugikan.

Sebagai contoh, katanya, kos seekor ayam bernilai RM11 tetapi mereka dipaksa jual pada harga RM9, tanpa ada sebarang insentif yang membantu menyelesaikan masalah penternak.

“Akibatnya penternak berhenti pelihara ayam. Ini menyebabkan bekalan ayam mula terganggu dan harga ayam semakin melambung,” katanya.

Muhyiddin ketika ucapannya baru-baru ini berkata, beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai salah satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.

Beliau berkata, berdasarkan kajian empirikal yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik ke atas 1,200 responden mendapati, masalah yang paling ketara didepani rakyat adalah kos sara hidup.

Namun, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, bukan semua berkemampuan atau mempunyai tanah yang boleh menternak 30 hingga 40 ekor ayam pada satu-satu masa.

Jelasnya, ada peniaga yang merungut bahawa harga sekilo ayam ketika ini bernilai lebih RM10, manakala ia jauh lebih murah ketika zaman pentadbirannya.

Author

Pilihan Editor