GARA-GARA muntah di sofa kesayangannya, seorang lelaki tergamak mendera seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sehingga meninggal dunia pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku menekan perut anak teman wanitanya itu secara agresif berkali-kali, selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai.
Akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan itu, tengkorak kanak-kanak lelaki tersebut pecah selain organ dalaman perut turut pecah.
“Sebaik tiba di Hospital Melaka (HM) jam 6.50 pagi, kanak-kanak yang dalam keadaan tidak sedarkan diri dirawat di Zon Merah dan diberikan bantuan pernafasan lebih sejam.
“Namun doktor mendapati mangsa tidak memberikan sebarang reaksi sebelum disahkan meninggal dunia jam 9.15 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Christopher berkata, mangsa dihantar ke rumah suspek berusia 25 tahun di Cheng oleh ibu mangsa berusia 24 tahun untuk berubat jam 5.30 pagi Khamis, selepas dikatakan kerap muntah.
Namun, katanya 40 minit kemudian, suspek menghubungi ibu mangsa memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum kedua-dua mereka membawa mangsa ke HM.
Mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HM jam 10.30 pagi untuk tindakan selanjutnya dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan badannya.
Ibu kandung mangsa dan teman lelakinya kemudian ditahan polis di hospital untuk siasatan lanjut.
Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengetahui motif kejadian dan siasatan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Dalam pada itu, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat hingga 13 Julai bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Terdahulu, kedua-dua suspek berpakaian lokap tiba pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pada jam 8.30 pagi.