CYBERJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kenyataan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai terlalu teruja dengan laporan tidak tepat, bahawa bekas Perdana Menteri itu akan melakukan pertemuan dengan individu yang ingin melabur sehingga RM500 bilion.
Terdahulu, sebuah media tempatan yang menyiarkan laporan itu meminda berita tersebut, selepas menyedari kesilapan berkenaan dan membetulkan angka kepada RM500 juta.
“Agaknya sebelum sempat akhbar itu melakukan pembetulan, Tengku Zafrul tanpa berlengah telah memuat naik video di media sosialnya dengan memberi perincian bahawa RM309 bilion ialah pelaburan tertinggi setahun yang pernah didapati oleh Malaysia, dan di zaman saya jadi Perdana Menteri pun tak pernah dapat pelaburan mencecah RM500 bilion.
“Jika sifat over-excited Tengku Zafrul terhadap laporan yang tidak tepat itu terdapat juga di dalam dirinya ketika mencari dan mendapatkan pelabur ke Malaysia, saya yakin keadaan ekonomi negara yang kelam dan muram ini dapat diatasi.
“Kalau setakat buat pengumuman ada pelbagai cadangan dan tandatangan puluhan MoU (memorandum persefahaman) berkait pelaburan tanpa keputusan yang muktamad tidak akan membangun ekonomi negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tengku Zafrul yang mengulas laporan berita sebelum ini berkata, negara ini tidak pernah menerima pelaburan bernilai RM500 bilion.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, sekiranya ada yang sanggup melabur sehingga RM500 bilion di Langkawi, ia akan menjadi rekod baharu di Malaysia manakala kerajaan bersedia untuk mengalu-alukan pelabur berkenaan.
“Memang kita bentang karpet merah dari airport (lapangan terbang) sampai ke hotel,” sindirnya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir meminta Tengku Zafrul untuk memperincikan pelaburan yang telah masuk dan dimuktamadkan di negara ini sejak beliau mengambil alih kementerian sekarang.
Pada masa sama, pemimpin berusia 98 itu mengakui tidak begitu mengenali Tengku Zafrul secara peribadi.
Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu hanya mengetahui bahawa beliau pernah menyanyi dalam kumpulan kugiran sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bagi menyokong kerajaan kleptokrasi, yang merujuk kerajaan dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Selepas saya jadi Perdana Menteri, ada pegawai saya minta supaya jangan ambil tindakan terhadap Tengku Zafrul walaupun ada usaha untuk buang dari CIMB. Saya kata kerajaan pimpinan saya tidak akan aniaya sesiapa kecuali jika dapat bukti kesalahan,” jelasnya.
Tidak sekadar itu, Dr Mahathir berkata, Tengku Zafrul ketika dilantik sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dikecam Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘menteri yang jaga bank dan bukan jaga rakyat’.
Pada PRU15 November lalu, Tengku Zafrul tewas ketika bertanding di kawasan Parlimen Kuala Selangor atas tiket UMNO.
Tengku Zafrul kemudian dilantik sebagai senator oleh Anwar yang juga Perdana Menteri ke-10, seterusnya membolehkan beliau menganggotai Kabinet.
“Tapi dia tetap jadi menteri. Mungkin ada something special (sesuatu istimewa) yang kita tak nampak lagi,” kata Dr Mahathir sinis.