HomePendidikanUMP kini kenali sebagai UMPSA

UMP kini kenali sebagai UMPSA

CYBERJAYA: Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berusia hampir 21 tahun kini dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan penggunaan logo dan nama UMPSA mengikut Warta Kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa pada 14 April lalu.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, penjenamaan universiti itu kepada UMPSA bertepatan dengan visi IPT terbabit ke arah sebuah universiti teknologi terunggul.

“Walaupun sudah bertukar nama, bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen tidak berubah mengikut matlamat tujuan penubuhannya.

“Penjenamaan ini akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik, pengantarabangsaan dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara,” katanya seperti dilapor Utusan.

Tambah beliau, kebolehpasaran graduan UMP membanggakan apabila mencapai 98.67 peratus dan antara tertinggi di Malaysia.

“Penjenamaan ini juga akan membina keterlihatan, reputasi dan keupayaan universiti seiring perkembangan serta pencapaian universiti yang diiktiraf dunia. Selain itu, universiti ini menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi yang berupaya memperkaya ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi.

“Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa. Program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman penanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, universiti ini bermula dengan Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) iaitu sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ke-16 diwartakan pada 16 Februari 2002.

Setelah lima tahun beroperasi, kerajaan mengumumkan pertukaran nama kepada UMP pada 1 Februari 2007 dan tahun ini dikenali sebagai UMPSA.

Author

Pilihan Editor