HomeMV+Pendapat5 tips perlu diketahui sebelum beli insurans

5 tips perlu diketahui sebelum beli insurans

MEMBELI insurans seolah-olah telah menjadi satu keperluan kepada rakyat di negara ini.

Banyak syarikat menawarkan pelbagai jenis insurans seperti insurans am, hayat, kesihatan & perubatan, rumah, perjalanan, kemalangan diri, kenderaan dan sebagainya.

Syarikat-syarikat insurans berlumba-lumba  menawarkan pelbagai pakej kepada rakyat Malaysia dan sudah pasti, janji yang diberikan kepada bakal pelanggan mereka adalah sangat menarik dan terlihat ‘lumayan’.

Seperti diketahui, tujuan utama seseorang individu membeli insurans adalah untuk mengurangkan risiko kerugian dan meringankan beban kewangan sekirannya terjadi sebarang kejadian yang tidak diingini.

Namun, adakah apa sahaja yang dijanjikan oleh syarikat-syarikat insurans ini adalah benar? Apakah perkara paling asas yang harus diketahui oleh seseorang individu sebelum membeli insurans? Apakah yang boleh dilakukan jika pembeli merasakan diri mereka telah ditipu oleh syarikat insurans?

Saya bukannya agen insurans atau hendak promosikan produk insurans kepada rakyat negara ini. Saya merupakan antara rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang pernah tersilap langkah dalam membeli produk yang ditawarkan oleh syarikat insurans di negara ini.

Tujuan penulisan ini adalah sebagai satu panduan yang paling asas untuk mereka yang berminat untuk membeli insurans agar tidak mengalami nasib seperti kami. Tulisan ini juga adalah dari sudut pandangan penulis berdasarkan pengalaman sahaja.

1. Ketahui tujuan utama beli insurans

Pastikan anda faham apa keperluan utama sebelum membeli insurans. Jika ia adalah untuk kesihatan, pastikan anda beli untuk kesihatan sahaja dan bukannya untuk perkara lain seperti simpanan dan sebagainya. Fokuskan kepada satu perkara sahaja.

Jangan membeli untuk semua perkara tanpa memahami tujuan anda membeli insurans berkenaan. Mungkin akan timbul apa-apa halangan semasa membuat tuntutan jika insurans yang diambil terdapat pelbagai perkhidmatan di dalamnya.

“Syarikat insurans mempunyai pelbagai agenda tersembunyi.”

Kita hanya akan mengetahuinya apabila kita hendak gunakan perkhidmatan syarikat berkenaan.

Penulis, tidak berminat untuk membeli insurans hayat kerana pada pandangan penulis, insurans semasa hidup pun susah hendak dapat, inikan pula insurans selepas mati, pasti waris terseksa hendak dapatkan sebarang pampasan.

Lebih baik penulis membeli insurans yang boleh menjaga kesihatan penulis semasa hidup daripada membeli insurans untuk dinikmati oleh waris penulis selepas mati.

2. Faham & ‘hadam’ polisi insurans yang dibeli

Jika membeli insurans, pastikan anda membaca polisi dengan teliti. Anda juga boleh minta orang yang menjual insurans terangkan atau minta nasihat dari rakan yang lebih mengetahui untuk memahami polisi berkenaan.

Apa yang berlaku kini ialah polisi yang digariskan adalah berpuluh-puluh halaman dan dalam tulisan kecil. Ia adalah normal untuk sesiapa pun untuk tidak ambil endah dan hanya tandatangan tanpa meniliti syarat-syarat yang digariskan. Tetapi apabila apa-apa berlaku dan bila kita hendak membuat tuntutan, timbul masalah, baru kita akan melenting dan menyalahkan semua pihak.

Misalnya, anda mengambil insurans untuk kesihatan, pastikan anda tahu jumlah peratusan yang akan dibayar oleh syarikat insurans dan peratusan yang harus ditanggung oleh kita sebagai pembeli.

Sekarang jarang kita jumpa syarikat insurans yang akan biayai 100 peratus bayaran perubatan untuk pelanggan mereka.

Pastikan juga adakah syarikat itu akan membayar untuk kos rawatan pesakit luar, jenis penyakit yang boleh diinsuranskan, adakah polisi bayar dahulu dan tuntut kemudian dan sebagainya.

Sebagai pembeli insurans, anda berhak untuk mengetahui semua ini sebelum membeli. Ingat anda adalah pihak yang akan keluarkan wang, jadi anda layak untuk mendapatkan segala maklumat sebelum memberikan komitmen.

3. Beli insurans dengan pihak berkaliber

Pastikan anda membeli insurans dari pihak yang berkaliber. Saya nasihatkan pembaca untuk terus pergi ke pejabat insurans dan beli. Ini kerana jika berlakunya sesuatu, kita boleh terus ke pejabat dan bertanyakan hak kita.

Elakkan membeli dari ejen, terutamanya dari individu yang tidak dikenali. Banyak kes penipuan terjadi angkara membeli melalui ejen. Bagaimanapun, jika individu itu merupakan rakan atau ahli keluarga yang anda percayai, silakan.

4. Elak beli insurans dengan telemarketing

“Satu lagi nasihat jujur saya adalah jangan membeli produk-produk insurans melalui telemarketing

Ini kerana kita hanya mendengar penerangan mengenai produk insurans dan perkhidmatan yang ditawarkan melalui telefon selama 15 minit dan terus setuju. Dalam masa 15 minit apa maklumat yang boleh kita dapat dan fahami?

Boleh jadi mereka yang menjual dan memberikan penerangan itu sendiri tidak tahu mengenai produk berkenaan.

Jika berlakunya sesuatu, kita tidak mampu mempertahankan diri kita mengenai informasi yang diberikan kerana kita tidak tahu dengan siapa kita bercakap semasa membeli. Ini merupakan satu kesilapan besar yang tidak patut dan harus dielakkan oleh semua pembeli insurans.

Jika anda tidak membayar sehingga polisi yang anda ambil tamat tempoh, dan kemudian sambung bayar semula, sila ke pejabat insurans dan semak semula isyarat-isyarat mengenai polisi tamat tempoh. Silap hari bulan, duit yang perlu kita terima akan hangus kerana syarikat insurans secara tiba-tiba akan menyatakan adalah polisi syarikat bahawa jika insurans anda tamat tempoh maka anda tidak boleh mendapat keistimewaan seperti anda membeli insurans itu pada awalnya.

Syarikat-syarikat ini akan mencari segala jalan atau alasan agar, anda tidak mendapat wang atau perlindungan seperti yang mereka janjikan semasa anda membelinya. Indah khabar dari rupa. Hati-hati dengan setiap langkah yang anda ambil.

5. Laporkan aduan di Bank Negara

Akhir sekali, jika anda tidak mendapat pampasan seperti yang dijanjikan apa perlu anda buat? Adakah menerima apa sahaja yang diberitahu oleh syarikat insurans seratus peratus? Sekali lagi sebagai seorang pembeli anda berhak untuk mendapat penerangan dan alasan yang munasabah sehingga anda berpuas hati. Jika anda merasakan diri anda tertipu, tidak puas hati dan mempunyai keraguan sila buat laporan di Bank Negara dengan bukti yang kukuh. Bank Negara merupakan tempat yang paling sesuai untuk anda mengadu nasib.

Sekali lagi saya nasihatkan, untuk mengelakkan sebarang masalah sebelum membeli insurans, pastikan anda membaca dengan teliti atau mendapatkan nasihat dari orang yang anda percaya.

Fahami segala perkara mengenai insurans yang hendak dibeli dan lakukan sedikit kajian. Banyak informasi mengenai insurans dalam talian yang anda boleh dapat. Kalau boleh, senaraikan apa yang anda akan dapat dan apa yang anda tidak akan dapat dengan membeli apa-apa produk insurans untuk rujukan semasa perlukan.

Apabila sudah yakin sepenuhnya dengan informasi yang diketahui, silakan beli insurans yang diinginkan. Ini penting supaya anda tidak kecewa dan terkejut apabila menghantar borang untuk tuntutan, banyak perkara yang dikatakan agenda tersembunyi mungkin wujud secara anda tidak sedar.

Jadilah pengguna yang bijak. Jangan harapkan kerajaan, NGO atau sesiapa sahaja akan sentiasa membantu anda.

“Sebagai pengguna, anda harus bijak dalam melindungi diri sendiri dari golongan kapitalis ini”.

*Artikel ini tidak menyalahkan semua syarikat insurans, namun masih ditujukan khas kepada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.

Oleh: DR RANI ANN BALARAMAN
Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)

 

Author

Pilihan Editor