CYBERJAYA: Pempengaruh yang sering bercerita mengenai kereta jenama Tesla miliknya mengejutkan warga net apabila mengumumkan dia bernikah buat kali kedua.
Abang Tesla menerusi TikToknya berkata, perkahwinan keduanya itu telah mendapat restu daripada isteri pertamanya.
Walaupun mendapat restu, usai solat bersama kelihatan isterinya tidak dapat menahan air mata dan memeluk erat pempengaruh tersebut.
“Tiga jam sebelum melangsungkan pernikahan kedua, solat Subuh sama-sama sambil diiringi air mata.
“Mungkin ramai yang berkahwin tanpa pengetahuan isteri, tapi saya tidak. Saya tidak akan membelakangi isteri saya,” katanya.
Dalam pada itu, lelaki itu bersyukur mempunyai isteri yang menjaga aibnya sebagai seorang suami.
“Tipulah kalau dia tak sedih, tapi saya ambil masa untuk pujuk hati dia tentang hasrat saya. Isteri yang baik adalah isteri yang taat kepada suami dan menjaga maruah suami,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sebaik sahaja selesai majlis akad nikah bersama isteri kedua Abang Tesla terus berjumpa dengan isteri pertamanya untuk memastikan emosinya stabil.
Abang Tesla menakhiri video dengan menyatakan bahawa tidak salah untuknya berpoligami
“Poligami adalah sesuatu yang Allah beri untuk memperbetulkan apa yang silap. Jangan disebabkan orang lain, poligami dipandang hina di mata manusia,” ujarnya.
Perkongsian itu nyata membuka ruang untuk netizen meluahkan pendapat masing-masing yang rata-rata tidak berpuas hati dengan tindakan pempengaruh tersebut.
“Aku tak sekeras kau bro, tak sanggup lihat orang yang mula-mula ada dengan aku ketika jatuh, bangun, susah senang bersama sedih dalam pasrahnya,” luah netizen.
Saya sebagai lelaki pun dapat rasakan betapa sakitnya bila diduakan cintanya, sebab bila dah poligami ni memang hidup dah tak sama dah dengan isteri pertama,” kongsi netizen.
“Kadang-kadang terfikir, seorang suami sayang sangat pada isteri tapi macam mana boleh ada hati dekat orang lain? Dan niat untuk berkahwin walaupun isteri izin tapi macam mana sanggup teruskan,” komen netizen.