HomeSukanBeberapa pihak cepat melompat macam kera suka seolah-olah kami gagal - TMJ

Beberapa pihak cepat melompat macam kera suka seolah-olah kami gagal – TMJ

KUALA LUMPUR: Tindakan kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengawal ‘nafsu’ daripada melakukan pembaziran mengikat pemain bintang bernilai tinggi akhirnya membuahkan hasil yang positif.

Perkara itu disuarakan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjelaskan bahawa beliau sebelum ini membatalkan hasrat untuk mengikat pemain bintang yang menelan belanja besar.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagaimanapun berkata terdapat pihak mempersoalkan keputusannya itu, malah ada yang menganggap kelab itu gagal.

Sebaliknya, keputusan yang diambil beliau itu dilihat tepat susulan kejayaan yang dikecapi Harimau Selatan apabila tampil dengan lebih garang selain berjaya mencipta beberapa rekod baharu musim ini.

“Apabila saya membuat keputusan untuk batalkan hasrat menandatangani pemain bintang dan berbelanja berhemah, di mana dengan satu harga kami boleh tandatangani dua pemain yang berkualiti, ramai yang mempersoalkan keputusan saya dan beberapa pihak cepat melompat macam kera suka seolah-olah kami gagal.

“Sejak tahun 2013 apa sahaja keputusan saya dan apa saya cakap ramai pihak yang memperlekehkan. Hari ini orang ramai dapat melihat semua tindakan saya dan apa yang saya cakap dari dulu sudah menjadi kenyataan, dalam bola sepak atau pun dalam politik,” katanya di Instagram Story miliknya.

Sebelum ini, terdapat laporan mendakwa JDT mahu mengikat bintang dunia kelahiran Colombia, Radamel Falcao bagi memperkuatkan Harimau Selatan.

Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan dengan TMJ dilaporkan berkata faktor perbelanjaan terlampau mahal menyebabkan mereka terpaksa melupakan hasrat itu.

Beliau berkata, kelab ingin menggunakan bajet yang ada untuk mendapatkan dua atau tiga pemain yang lain untuk pertingkat prestasi pasukan.

Selepas itu, JDT mengikat penyerang kelahiran Brazil, Heberty Fernandes dan Takahiro Kunimoto dari Jepun yang dilihat tidak menunggu lama untuk memberi impak positif buat Harimau Selatan. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor