SHAH ALAM: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menerima pelawaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berdebat mengenai hala tuju anak muda.
Bagaimanapun Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, sewajarnya acara berkenaan diadakan selepas pilihan raya negeri (PRN) selesai.
Menurut beliau, ketika ini, peluang perlu diberikan kepada calon baharu yang bertanding pada PRN supaya mereka mendapat lebih pendedahan dan perhatian daripada media dan rakyat.
“Terima kasih atas ajakan. Biarpun janggal untuk debat diadakan antara dua ahli Parlimen kerajaan dengan disertai pula oleh seorang ahli Parlimen pembangkang, saya kira ianya menarik dan boleh kita jadikan medan untuk merungkai banyak perkara agar jelas semuanya.
“Begitu pun, saya percaya ada yang lebih memerlukan pentas ini saat sekarang. Saya cadangkan sempena PRN ini, kita beri peluang dahulu kepada calon-calon muka baharu kita berdebat.
“Beri tumpuan kepada suara mereka. Biar mereka dapat lebih pendedahan berbanding kita yang ada kelebihan dari segi perhatian media dan masyarakat selama ini. Ini masa untuk serlahkan mereka. Urusan antara kita ini boleh diadakan selepas selesai PRN. Insya-Allah. Tetapkan perimeternya nanti,” katanya pada Jumaat.
Pada Khamis, Syed Saddiq melalui satu hantaran di Twitternya mempelawa pimpinan tertinggi anak muda mewakili Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Adam Adli dan PN, Ahmad Fadhli untuk mengadakan perdebatan mengenai hala tuju anak muda.
Jelas Syed Saddiq, cabaran debat tersebut sebagai usaha menyahut cadangan mengangkat politik idea dan solusi agar rakyat dapat menilai hala tuju serta tawaran parti masing-masing dalam PRN 12 Ogos ini.
Sementara itu, menurut Ahmad Fadhli, beliau sedang berhubung dengan Syed Saddiq bagi menentukan masa dan tarikh yang bersesuaian untuk melaksanakan perdebatan tersebut.
“Saya tiada masalah untuk menyambut baik cadangan ini. Buat masa sekarang, saya sedang berhubung dengan pihak Syed Saddiq untuk menentukan masa dan tarikh yang boleh dipersetujui bersama.
“Perdebatan adalah budaya yang sihat dalam masyarakat kita. Bagi saya, tiada masalah dan bila-bila masa sahaja perbincangan (debat) ini boleh dilakukan. Bukan hanya dalam tempoh PRN sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.