HomeGlobalAfraa, ‘bayi ajaib’ lahir bawah runtuhan gempa bumi di Syria makin sihat

Afraa, ‘bayi ajaib’ lahir bawah runtuhan gempa bumi di Syria makin sihat

DAMSYIK: Seorang bayi perempuan yang sebelum ini tular kerana dilahirkan di bawah runtuhan bangunan ketika gempa bumi kuat melanda Syria dan Turkiye Februari lalu, kini berada dalam keadaan sihat, lapor akhbar Arab News.

Bayi bernama Afraa itu dipelihara oleh keluarga saudaranya dan digelar ‘bayi ajaib’ kerana ditemui di bawah runtuhan bangunan dalam keadaan tali pusat masih bersambung pada mayat ibunya, setelah 10 jam terperangkap.

Selepas dirawat di hospital di utara Syria berhari-hari, Afraa diserahkan kepada ibu saudara sebelah bapanya untuk dipelihara bersama lima anak perempuan dan dua anak lelakinya yang lain.

“Dia ialah anak perempuan saya. Dia sama sahaja seperti anak-anak saya yang lain,” kata bapa saudara Afraa yang memeliharanya, Khalil Al-Sawadi.

Afraa disifatkan sebagai bayi aktif yang gemar tersenyum dan mudah mesra terhadap orang yang tidak dikenali.

Menurut Khalil, dia menerima banyak tawaran untuk tinggal di luar negara, namun menolaknya kerana mahu menetap di Syria di mana Allahyarham bapa dan ibu Afraa pernah hidup dan meninggal dunia.

“Wajahnya sangat mirip dengan arwah bapa dan kakaknya, Nawara,” kata Khalil.

Author

Pilihan Editor