Agong beri sumbangan peribadi kepada balu mangsa nahas Elmina - Media Variasi
HomeBeritaAgong beri sumbangan peribadi kepada balu mangsa nahas Elmina

Agong beri sumbangan peribadi kepada balu mangsa nahas Elmina

TRAGEDI pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor meruntun hati pelbagai pihak, apabila ramai yang menghulurkan bantuan dan sokongan kepada keluarga mangsa terlibat.

Antara prihatin dengan perkara itu adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenaan menyampaikan sumbangan peribadi kepada salah seorang ahli keluarga.

Sumbangan itu disampaikan kepada Adlina Aisyah Ahmad, iaitu balu Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramalipada pada Jumaat.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara pada Sabtu, sumbangan itu diserahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendi Zairakithnaini dalam kunjungan ke kediaman Adlina Aisyah, di ibu negara.

Adlina Aisyah, 41, pernah bertugas sebagai Pegawai Pentadbir (Sumber Manusia) di Istana Negara dari 2011 hingga 2015.

Dalam kunjungan itu, Azuan Effendi turut menyampaikan ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada Adlina Aisyah dan keluarga atas pemergian mengejut suami tersayang.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar Adlina Aisyah dan keluarga tabah serta sabar menghadapi dugaan dan suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.

Idros adalah pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa, namun bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Dalam insiden pada Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, mengakibatkan 10 individu termasuk Johari maut.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Pesawat itu yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.

Author

Pilihan Editor