HomeBeritaPolitikAmirudin saman fitnah terhadap Sanusi

Amirudin saman fitnah terhadap Sanusi

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengambil tindakan undang-undang menyaman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, ini susulan ucapan Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang jelas menfitnah ketika Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra, semalam.

“Ucapan beliau (Muhammad Sanusi) tersebut jelas adalah fitnah dan merupakan percubaan oleh seorang yang amat terdesak dan ingin pengalihan persepsi daripada segala dakwaan skandal unsur nadir bumi (REE) yang terpalit ke atasnya yang masih gagal dijawab secara berfakta sehingga kini.

“Dengan tegas saya menafikan sekeras-kerasnya segala bentuk dakwaan dan tuduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin yang merupakan calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua berkata, perkara tersebut telah beliau perincikan secara panjang lebar di sidang DewanNegeri tahun lalu dan awal tahun ini serta dalam satu sidang Parlimen pada 1 Mac lalu.

“Justeru, saya telah berbincang dengan peguam saya dan akan memulakan proses tindakan undang-undang terhadap Muhamad Sanusi dengan segera atas fitnah yang dilontarkan ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi dalam ucapan di Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ mendedahkan terdapat skandal berlaku Amirudin dengan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berhubung projek sungai bernilai RM10 bilion dengan mendapatkan tanah seluas 600 ekar (242.8 hektar) di Selangor.

Skandal itu membabitkan syarikat milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bagi projek di Sungai Klang itu akan merugikan kerajaan negeri Selangor sekitar RM180 juta.

Author

Pilihan Editor