HomeBeritaMedian upah bulanan pekerja formal tempatan meningkat kepada RM2,600 sebulan

Median upah bulanan pekerja formal tempatan meningkat kepada RM2,600 sebulan

PUTRAJAYA: Median atau penengah upah bulanan bagi pekerja formal warga negara ini pada Mac tahun ini adalah sebanyak RM2,600 sebulan, meningkat 8.3 peratus berbanding RM2,400 bagi tempoh sama tahun lepas yang membabitkan seramai 6.45 juta orang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata dari segi jantina, pada Mac 2023, pekerja formal lelaki merangkumi 55.5 peratus atau seramai 3.58 juta orang dengan median upah sebanyak RM2,664 sebulan.

“Perbandingan dengan Mac 2022, median upah bulanan bagi kedua-dua pekerja formal lelaki dan perempuan menunjukkan tren yang meningkat, masing-masing sebanyak 8.0 peratus, dan 8.6 peratus,” katanya membentangkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

Pekerja formal merujuk kepada individu bekerja bawah kontrak perkhidmatan atau latihan perantisan bermajikan dan menerima ganjaran untuk kerja yang diselesaikan.

Mohd Uzir berkata, laporan itu berdasarkan data daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tidak mengambil kira sebahagian besar gaji sektor awam.

“Upah yang dianggarkan dalam penerbitan ini merujuk kepada semua ganjaran dalam bentuk wang yang meliputi bonus, komisen dan elaun dibayar kepada pekerja untuk pekerjaan yang dilakukan pada tempoh rujukan,” katanya.

Mengenai situasi upah mengikut kumpulan umur, Mohd Uzir berkata, median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 direkodkan oleh pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun dan 40 hingga 44 tahun sebanyak RM3,500.

Beliau berkata, kedua-dua kumpulan itu secara kolektif membentuk hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja formal.

Seterusnya, median upah bulanan mula menunjukkan penurunan bagi kumpulan umur 50 hingga 54 tahun dengan median upah bulanan sebanyak RM3,400 pada Mac 2023.

Sebaliknya, kumpulan umur bawah 20 tahun menerima median upah bulanan terendah sebanyak RM1,500 (Mac 2023), katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi upah mengikut aktiviti ekonomi, Ketua Perangkawan berkata, kesemua sektor merekodkan peningkatan dalam median upah bulanan.

“Bagi sektor perlombongan & pengkuarian, walaupun hanya mewakili 0.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada Mac 2023 sebanyak RM7,500.

“Manakala, median upah bulanan terendah diterima bagi sektor pertanian iaitu sebanyak RM1,900, menunjukkan pertumbuhan yang signifikan sebanyak 8.9 peratus tahun ke tahun pada Mac 2023,” katanya.

Mohd Uzir berkata, pada Mac 2023, median upah bulanan tertinggi diterima oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM3,927, diikuti oleh Selangor sebanyak RM2,964 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,627.

Sebaliknya, Kelantan, Perlis dan Sabah menunjukkan median upah bulanan yang rendah masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,627 dan RM1,782, dalam tempoh yang sama, katanya.

Menurut Mohd Uzir, penghasilan laporan itu adalah produk pertama berjaya diterbitkan menggunakan inisiatif kerangka Pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) yang melibatkan pengintegrasian data pentadbiran yang pelbagai berkaitan pasaran pekerjaan.

 

 

Author

Pilihan Editor