ANGKA kematian akibat serangan berani mati di Pakistan yang menyasarkan perhimpunan politik kumpulan agama meningkat kepada 63 orang.
Seorang pegawai kerajaan pada Rabu berkata, kira-kira 123 lagi mangsa yang lain masih dalam rawatan, menurut laporan Times of India.
“Seramai 63 mangsa terkorban setakat ini dan jumlah kematian dijangka meningkat dengan 123 yang cedera dirawat di pelbagai hospital selepas serangan di daerah barat laut Bajaur,” kata salah seorang anggota pihak berkuasa, Superintendan Liaqat Khan kepada Reuters.
Pengeboman bunuh diri itu menimbulkan kebimbangan menjelang pilihan raya umum yang dijadual berlangsung pada November ini.
Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap letupan pada Ahad ketika perhimpunan parti Jamiat Ulama-e-Islam-Fazl (JUI-F).
JUI-F adalah parti komponen kerajaan yang diketuai ulama radikal terkenal.
Kira-kira 400 ahli parti JUI-F sedang menunggu ucapan apabila seorang pengebom meletupkan jaket dipenuhi bahan letupan berhampiran pentas.
Serangan yang berlaku selepas beberapa bulan ketegangan politik dan krisis ekonomi itu turut mendapat kecaman Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang menyifatkannya sebagai serangan terhadap proses demokrasi.