CYBERJAYA: Pemandu e-hailing yang maut dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, disahkan sebagai Sharipuddin Shaari, berusia 53 tahun.
Anak sulung mangsa, Muhammad Sharul Izuan, 16, berkata, dia tidak menyangka bapanya terbabit dalam nahas itu dan pergi meninggalkan mereka sekeluarga.
“Dua minggu lalu ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat beli belah di Kota Warisan, ayah memberikan dua keping gambar yang sama dan menyuruh saya simpan sebagai kenangan.
“Petang semalam kira-kira jam 6 petang anggota peronda polis datang ke rumah memaklumkan ayah terlibat dalam kemalangan dan berita tu amat mengejutkan kami sekeluarga,” katanya seperti dilapor Buletin TV3.
Sebelum tragedi itu berlaku, bapa kepada dua anak tersebut sempat menghubungi isterinya, Suriana Muda, 43, buat kali terakhir memaklumkan dia sedang berehat di sebuah restoran di Elmina sementara menunggu pelanggan.
Malah, ayahnya juga berjanji akan pulang awal selepas selesai tugasan itu.
“Pemergian ayah sangat mengejutkan kami sekeluarga kerana beliau seorang yang penyayang, namun kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” luahnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pemandu e-hailing berkenaan menolak tempahan penumpang sejak jam 2 petang sebelum kejadian pesawat terhempas.
Polis percaya, mangsa tidak membawa penumpang pada ketika itu. Bagaimanapun, polis sedang menunggu hasil keputusan siasatan Forensik untuk mengesahkan perkara berkenaan.