CYBERJAYA: Seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu merempuh penghadang jalan di lorong motosikal Kilometer (KM) 32 Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Naza Auto, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.21 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sewaktu mangsa menunggang motosikal jenis Honda ADV160 melalui lorong berkenaan menghala ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.42 pagi.
“Lelaki berusia 26 tahun itu dipercayai terbabas sebelum motosikalnya terlanggar penghadang di sebelah kiri jalan.
“Mangsa yang bekerja sebagai barista di sebuah hotel sekitar ibu negara tersebut disahkan maut di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ” maklumnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan,” ujarnya.