HomeUncategorized2 kes positif cacar monyet di Malaysia

2 kes positif cacar monyet di Malaysia

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua kes positif jangkitan mpox atau cacar monyet kini direkodkan dalam negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes pertama disahkan pada 26 Julai lalu melibatkan seorang lelaki warga asing yang tinggal dan bekerja di Malaysia sejak April 2022.

Beliau menjelaskan, kes itu mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes mpox pada 6 Julai lalu dan kembali semula ke Malaysia pada 10 Julai lepas.

“Dia mula menunjukkan gejala pada 19 Julai 2023 dan lepuh mula muncul pada 23 Julai 2023.

“Dia menjalani isolasi dan dibebaskan pada 10 Ogos 2023 setelah pulih sepenuhnya tanpa komplikasi. Dia disyaki mendapat jangkitan semasa berada di luar negara iaitu negara yang melaporkan kes mpox,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, kes kedua pula adalah kontak kepada kes mpox pertama iaitu seorang lelaki warga tempatan yang mengalami gejala semasa dalam kuarantin kerana merupakan kontak kepada kes positif mpox.

Menurutnya, pesakit itu diarahkan menjalani kuarantin sejak 27 Julai 2023 dan disahkan positif mpox pada 29 Julai 2023 dan masih dalam tempoh isolasi serta dalam keadaan sihat.

Katanya, semua kontak bagi kes pertama telah dikenal pasti dan status kesihatan mereka dipantau.

“Tiada yang mengalami gejala jangkitan mpox kecuali kes kedua seperti dinyatakan di atas dan kes kedua tidak mempunyai sebarang kontak rapat,” katanya.

Jelasnya, mpox adalah sejenis jangkitan berpunca dari virus mpox yang mana jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan virus itu.

Katanya, tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara 5 ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.

Menurutnya lagi, individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya serta lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

“Semua pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan mpox dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

“Gejala-gejala mpox adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai gejala mpox, katanya, pesakit mungkin turut mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

Justeru, semua pengamal perubatan diminta untuk peka terhadap individu dengan gejala lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi (key population).

Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan dan bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum boleh dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.

“Pada masa ini, terdapat 10 buah makmal menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan mpox; iaitu lapan makmal kerajaan dan dua makmal swasta.

“Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke pejabat kesihatan berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor