KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak Bell Ngasri, 43, melahirkan perasaan bangga dengan pencapaian anak keduanya, Nasfarisya Nasrizal, 14, yang terpilih mewakili sekolah dan negara dalam pertandingan pidato Actions For Earth Award & Global Youth Summit.
Nasfarisya terpilih bersama tiga peserta lain iaitu Eshal Nabihah Nazamuddin, 15, Areesa Humairah Khairul Hafizi, 15, dan Amira Aisyah Abdullah, 14, dalam pertandingan yang berlangsung di International Centre for Interdisciplinary Science and Education di Quy Nhon, Binh Dinh, Vietnam mulai 23 Ogos lalu dan berakhir esok.
Kesemua mereka adalah pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Setiabudi di Gombak.
“Saya bersyukur dia terpilih masuk pidato untuk sekolah dan mewakili negara walaupun umurnya baru 14 tahun. Saya sendiri tak pernah bawa dia sampai Vetnam untuk sekolah atau apa-apa aktiviti sekolah.
“Nasfarisya budak rajin dan anak pandai. Alhamdulillah, dapat anak tak ikut perangai bapa (bergurau). Alhamdulillah, setiap pelajar sudah menerima sumbangan daripada sekolah untuk duit poket bagi perbelanjaan di Vietnam.
“Saya nak cerita lebih pun saya bukan faham sangat topik ini. Alhamdulillah, paling kurang dia membanggakan kami sekeluarga,” katanya kepada Harian Metro.
NASFARISYA wakil sekolah dan Malaysia ketika di KLIA, baru-baru ini.
Bell juga berbangga kerana Nasfarisya berjaya terpilih walaupun syarat yang ditetapkan untuk peserta ialah berumur 15 tahun dan ke atas.
“Semoga dia (Nasfarisya) berjaya hingga ke anak cucu la senang. Saya dan isteri sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.
Menerusi hantaran di Instagram, Bell memuat naik video perjalanan anaknya di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Vietnam.