HomeBeritaBot terbalik, kanak-kanak dikhuatiri lemas

Bot terbalik, kanak-kanak dikhuatiri lemas

SANDAKAN: Seorang pelajar Tahun Satu dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya bersama lima lagi penumpang terbalik di perairan Tanjung Batu, disini pada Selasa.

Romy Azlan, 7, dilaporkan hilang dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, berdasarkan laporan, mangsa ketika itu menaiki bot bersama keluargannya dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang.

Menurutnya, bot dinaiki enam individu termasuk mangsa itu kemudiannya terlanggar satu objek terapung sekali gus menyebabkan bot itu hilang kawalan lalu terbalik.

“Seramai lima mangsa berjaya diselamatkan namun mangsa dilaporkan hilang.

“Ekoran itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada jam 4 petang semalam bagi mengesan kanak-kanan terbabit.

“Pangkalan Hadapan CARILAMAT turut diwujudkan bagi mengkoordinasi pencarian tersebut,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah beliau, Bot Peronda Banggi 14 dan Bot Kilat 8 dari Zon Maritim Sandakan turut diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa.

“CARILAMAT turut dibantu oleh Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dna bot nelayan tempatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta berhubung secara terus kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Sandakan ditalian 089-229504 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 yang beroperasi 24 jam,” maklumnya.

 

Author

Pilihan Editor