HomeBeritaViralPadah bersila tunggang motor, main telefon bimbit, 'rider' cetus nahas tiga kenderaan

Padah bersila tunggang motor, main telefon bimbit, ‘rider’ cetus nahas tiga kenderaan

 

CYBERJAYA: Seorang penghantar makanan menerima padah selepas menunggang motosikal secara sambil lewa dan berbahaya baru-baru ini.

Menerusi rakaman kamera perakam video (dash cam), lelaki itu pada mulanya dilihat duduk bersila sambil bermain telefon bimbit ketika motosikalnya sedang bergerak.

Tidak lama kemudian, dia secara tidak sengaja melanggar belakang sebuah kereta dipercayai teksi, sebelum terkena bahagian tepi sebuah Perodua Alza.

Lelaki itu kemudian dilihat jatuh ke atas jalan raya sesak bersama-sama motosikalnya.

Meskipun dilanggar, pemandu Alza itu tetap tampil memberi bantuan kepada penghantar makanan tersebut bersama orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Sementara itu, pemandu teksi terbabit dilihat memberhentikan keretanya tidak jauh dari lokasi sebelum keluar dari kenderaannya.

Berdasarkan rakaman dash cam, kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran pusat beli-belah Berjaya Times Square di Bukit Bintang, dekat ibu negara pada kira-kira jam 4.38 petang Selasa.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung kemalangan tersebut.

 

Author

Pilihan Editor