SEBUAH video tular baru-baru ini memaparkan seorang wanita yang berasal dari Sangrur, dekat Punjab, India menangis dan meminta bantuan untuk pulang ke tanah air.
Gurvinder Kaur mendakwa, dia melakukan penerbangan ke Malaysia pada bulan lalu untuk mencari kehidupan lebih baik, namun diperdaya oleh ejen pelancongan.
Pada masa sama, dia mendakwa dikurung di dalam sebuah rumah tanpa diberi sebarang makanan, malah pasportnya turut dirampas.
Kaur berkata, dia sudah diberi jaminan untuk bekerja di sebuah salun di Malaysia, namun mendakwa bahawa dia menerima gangguan.
Ketua Menteri Punjab, Bhagwant Mann dalam satu kenyataan berkata, wanita itu akan dibawa pulang ke India tidak lama lagi.
Mann berkata, perkara tersebut sudah pun dimaklumkan kepada kerajaan pusat.
“Kini usaha dilakukan kerajaan negeri telah membuahkan hasil kerana wanita itu telah pun berurusan dengan kedutaan India,” katanya.
Tambahnya, Kaur akan pulang ke pangkuan keluarganya selepas beberapa formaliti dan kertas kerja diselesaikan. –Agensi