KUALA LUMPUR: Dasar Gaji Progresif akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, polisi dasar tersebut telah diluluskan di peringkat jemaah menteri dan sasaran pelaksanaannya dijangka sekitar April atau Mei, tahun depan.
Ujarnya, polisi tersebut telah diteliti dari segi prinsipal yang lebih baik namun perlu melalui beberapa proses tertentu sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kita perlu lihat tahap di mana, bila saya kata tahap bermaksud kumpulan mana yang layak di bawah dasar ini dan komitmen kewangan kerajaan sebelum memuktamadkannya.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada beri beberapa nombor dalam Belanjawan 2024. Jadi kita tunggu pengumuman pada Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kepimpinan Digital Eksekutif bersama Asia School of Business (ASB) dengan kerjasama MIT Sloan Management, di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, Kabinet akan membincangkan Dasar Gaji Progresif bagi memperhalusi pelaksanaannya secara berperingkat.
Beliau berkata, ia juga bagi meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang akan ditentukan mengikut kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar. – Kosmo!