HomeBeritaSPRM nafi keluarkan kenyataan siasat KPPA isu rasuah

SPRM nafi keluarkan kenyataan siasat KPPA isu rasuah

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan media kononnya sedang menyiasat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed, berhubung isu rasuah.

Menurut SPRM, kenyataan yang tular dalam media sosial itu adalah palsu dan bertujuan mengelirukan orang ramai.

“SPRM menafikan ada mengeluarkan kenyataan media berhubung siasatan rasuah membabitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, bertarikh 23 Ogos 2023 seperti yang ditularkan menerusi media sosial.

“Tindakan mengeluarkan kenyataan itu ternyata berniat jahat serta mengelirukan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, SPRM meminta orang ramai tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu.

Semalam, kenyataan palsu itu tular dalam media sosial kononnya SPRM menyiasat Zulkapli ketika beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, berhubung projek pembelian bernilai RM300,000 membabitkan perbadanan berkenaan.

Ini adalah kali ketiga dakwaan palsu membabitkan nama Zulkapli dengan siasatan salah guna kuasa dan rasuah.

Kali pertama adalah pada 6 April lalu yang mana Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Zulkapli disiasat SPRM berhubung kes salah guna kuasa.

Ia susulan kenyataan palsu kononnya dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri bahawa Mohd Zuki dan Zulkapli sedang disiasat suruhanjaya itu.

Kali kedua ialah pada 26 Julai lalu apabila Jabatan Perdana Menteri menafikan dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada mengeluarkan kenyataan bahawa Zulkapli sedang disiasat. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor