CYBERJAYA: Gara-gara meletakkan kenderaan di tempat gelap, seorang gadis terkejut selepas mengetahui dua biji tayar kereta Perodua Myvi hilang.
Menerusi perkongsian video TikTok mspetite, menunjukkan kereta wanita itu diletak di kawasan yang gelap. Lebih mengejutkannya, dua biji tayar bahagian kiri pemandu telah hilang.
“Kau tengok, aku seorang dekat sini, kau tengok dia curi tayar weh. Ya Allah stresnya, macam mana aku nak balik ni,” katanya dalam video.
Menurut wanita itu, kejadian dipercayai berlaku di Stesen KTM Teluk Pulai Klang, Selangor.
Menerusi video berasingan, orang kampung yang menolongnya memberitahu bukan dirinya sahaja yang menjadi mangsa. Malah, sehari sebelum kejadian, sebuah kereta Perodua Axia turut mengalami nasib yang sama.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa gadis itu serta mencadangkannya untuk membeli skru keselamatan istimewa (special lock nut) sebagai langkah berjaga-jaga pada masa akan datang.
“Beli special nut, pasang sebiji setiap tayar. Ada duit lebih pasang setiap tayar, tools buka special nut tu simpan dalam kereta. Senang nak cari,” kongsi netizen.
“Dugaan, for next time, jangan park situ, gelap kawasan tu memang senang dia buat kerja. Beli special nut nanti,” luah netizen.
“Mesti akak tekan minyak kereta tak jalan kan, pastu keluar tengok tayar tak ada,” komen netizen.