HomeBeritaGadis Kelantan jana 'income' menerusi khidmat buat resume, tawar templat serendah RM10! 

Gadis Kelantan jana ‘income’ menerusi khidmat buat resume, tawar templat serendah RM10! 

CYBERJAYA: Siapa sangka, dengan hanya menawarkan perkhidmatan membuat resume, seorang gadis dikenali Nurul Ain mampu menjana pendapatan menerusi permintaan pelanggannya yang tinggi.

Nurul Ain, 24, pada mulanya menawarkan perkhidmatan itu dengan caj serendah RM10 kerana niatnya ingin membantu golongan yang memerlukan bantuan dalam aspek penyediaan resume.

Namun, lepasan graduan dari Universiti Sains Malaysia itu tidak menyangka bahawa perkhidmatan Resume By Nurul yang ditawarkan menerusi TikTok sejak dua bulan lalu mendapat sambutan ramai.

“Saya tidak mengenakan bayaran yang banyak kerana kebanyakan pelanggan saya adalah penganggur baru lepasan ijazah seperti saya.

“Niat saya adalah untuk memudahkan orang ramai. Ramai yang terlalu sibuk atau tidak mempunyai kemahiran komputer untuk melakukannya sendiri,” katanya seperti dilapor Malay Mail.

Tambah anak jati Kelantan itu, dia berasa lega kerana perkhidmatannya itu turut menjadi sebahagian usaha dalam membantu seseorang mencari pekerjaan.

“Jumlah pelanggan tertinggi yang saya dapat dalam sehari adalah lebih daripada seribu,”

“Bahagian terbaik ialah mengetahui bahawa apa yang saya lakukan membantu orang ramai, saya berasa lega dalam membantu mereka mendapatkan pekerjaan,” ucapnya.

Setakat ini, perkhidmatan Resume By Nurul yang menawarkan 46 templat resume untuk dipilih sudah mendapat tempahan penuh sehingga Oktober ini.

Selepas memilih templat, pelanggan akan mendapat senarai semak yang perlu mereka isi dengan maklumat yang diperlukan.

Author

Pilihan Editor