CYBERJAYA: Gurauan sepasang kekasih yang mahu melangsungkan perkahwinan di McDonald’s akhirnya menjadi realiti apabila pasangan itu mengikat tali perkahwinan di restoran makanan segera itu di West Coast Park pada 19 Julai.
Berlatarbelakangkan gerbang emas ikonik, Elson Tong, 26 dan Yong Yong Qing, 26 selamat disatukan di hadapan 55 tetamu yang hadir terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Pada mulanya, Tong yang bekerja di Kementerian Luar Negeri mengadakan lawatan ke McDonald’s pada April 2021 lalu dan dengan nada bergurau, dia menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan burger ayam rangup buttermilk yang merupakan menu kegemarannya di restoran itu.
Pasangannya Tong, membalas gurauan tersebut dengan menyatakan idea melangsungkan perkahwinan di McDonald’s.
“Ia mencerminkan keperibadian kita sebagai pasangan; kita suka menjaga perkara-perkara yang mudah dan bebas dari keserabutan. Kami juga mahu tetamu kami dapat berpakaian dengan selesa, ” kata Yong seperti yang dilapor The Straits Times.
Sehubungan itu, Yong terus menghubungi pihak Mcdonalds West Coast Park pada Mei lalu dan mendapat kelulusan pengurus untuk mengadakan majlisnya pada hari kerja bagi mengelak kesesakan dalam restoran tersebut.
Pasangan itu kemudian menghantar kad jemputan seperti kupon McDonald’s kepada tetamu mereka dan biayaan kos yang dikeluarkan mereka berdua untuk majlis berkenaan adalah sebanyak S$700 (SGD).
“Kami sangat menghargai kakitangan McDonald’s yang membantu kami menghidangkan makanan dan membersihkan tempat selepas itu.
“Pengurus malah turun pada hari cuti untuk memastikan semuanya berjalan lancar.”
Pasangan itu berkata mereka gembira tetamu yang hadir menikmati acara perkahwinan tersebut.
“Kami merasakan ia adalah upacara yang sempurna untuk kami dengan orang yang kami sayangi dan di tempat yang kami rasa seperti ‘rumah’.
“Dalam kata-kata slogan McDonald, we’re lovin it (kami menyukainya).” ujarnya.