HomeBeritaPolitik'Hanya menang 19 kerusi, mana maruah UMNO?' soal Noh Omar

‘Hanya menang 19 kerusi, mana maruah UMNO?’ soal Noh Omar

SHAH ALAM: Tan Sri Noh Omar menepis dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan memperoleh jumlah kerusi yang kurang, sekiranya melakukan gabungan dengan Perikatan Nasional (PN).

Sebagai bukti, menurut bekas Pengerusi UMNO Selangor itu, UMNO di bawah Barisan Nasional (BN) yang ketika ini bergabung dengan Pakatan Harapan (PH), masih mengalami kekalahan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

“Macam sekarang ini apa maknanya. Daripada bertanding 108 kerusi DUN (Dewan Undangan Rakyat) tapi hanya menang 19 kerusi. Jadi, mana maruah UMNO?

“Teori Zahid mengatakan bahawa apabila UMNO bersama PN, ia akan merugikan UMNO. Tapi, apa yang saya katakan sewaktu dalam UMNO, saya memang tidak bersetuju dengan teori ini.

“Kita jangan lihat berapa banyak kita boleh bertanding, tetapi tengok berapa banyak yang kita boleh menang, ” katanya ketika ditemui selepas sidang media PN berhubung keputusan PRN di Hotel Concorde di sini pada Sabtu.

 

Ahmad Zahid (empat dari kanan), ketika sidang media PH-BN berhubung keputusan PRN di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Justeru, Noh turut menggesa Ahmad Zahid untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO sekiranya masih menyayangi parti tersebut, selain mengambil kira Timbalan Perdana Menteri itu tidak lagi diterima oleh orang Melayu.

Antara sebab lain adalah apabila Noh mendakwa bahawa, Ahmad Zahid mensabotaj UMNO ketika kempen PRN sebelum ini.

Sebagai contoh, katanya, gabungan PH-BN mempertaruhkan calon di kerusi DUN Sungai Burong dan Permatang, yang mana kedua-duanya berada di kawasan Parlimen Tanjong Karang.

Beliau berkata, UMNO mempertandingkan calonnnya di DUN Sungai Burong, sementara PKR pula di DUN Permatang.

“Cuba bayangkan seorang presiden sepatutnya kena turun DUN Sungai Burong untuk membantu calon UMNO, tetapi kali ini terbalik. Beliau turun di DUN Permatang kerana nak membantu PKR.

“Jadi, kalau dah presiden parti boleh sabotaj calon parti sendiri, apa maknanya UMNO dipimpin oleh seseorang yang sanggup sabotaj parti mereka sendiri,” katanya.

PERJUANGAN DITERUSKAN

Noh (dua dari kanan) bersama keluarga mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong, Tanjong Karang, Selangor pada Sabtu. – Foto: FB Noh Omar

Mengulas mengenai kemenangan Nurul Syazwani di DUN Permatang, Noh berkata, anak sulungnya akan meneruskan perjuangannya menerusi prinsip rakyat perlu diutamakan.

Beliau berkata, bantuan kepada rakyat tidak diberi hanya berlandaskan parti dan dengan cara memilih bulu.

“Kalau nak hulurkan bantuan, kita hulurkan kepada semua orang. Ini cara yang saya buat selama enam penggal saya memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen di Tanjong Karang.

Nurul Syazwani memenangi kerusi DUN Permatang selepas menewaskan calon PH, Mohd Yahya Mat Sahri pada PRN Selangor.

Nurul Syazwani memenangi kerusi itu selepas memperoleh majoriti 1,728 undi menerusi 12,850 undi, manakala Mohd Yahya memperoleh 11,122 undi.

Author

Pilihan Editor