HomeBeritaPolitik'Harap Sanusi tak lari terima surat saman', Amiruddin ulas tuduhan isu SMG

‘Harap Sanusi tak lari terima surat saman’, Amiruddin ulas tuduhan isu SMG

GOMBAK: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak boleh tidur lena apabila berdepan satu demi satu pertuduhan selain tuntutan saman, tatkala Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung kurang lagi lima hari.

Terdahulu, pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan mengemukakan saman sebanyak RM200 juta terhadap Pengarah PRN Perikatan Nasional (PN) itu.

Ini susulan kenyataan berunsur fitnah didakwa dibuat Muhammad Sanusi berhubung projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Muhammad Sanusi mendakwa, Vincent Tan iaitu kroni kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari telah memperoleh tanah seluas 600 ekar atau 243 hektar secara percuma.

Ia termasuk tuduhan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bakal mengalami kerugian mencecah RM180 juta jika Vincent Tan diberikan projek sungai bernilai RM10 bilion.

Tidak berdiam diri, Amiruddin turut tampil mengemukakan saman terhadap Muhammad Sanusi berhubung fitnah tersebut.

Amiruddin berkata, tindakan itu diambil kerana isu berkaitan SMG sudah beberapa kali dijawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Isu itu telah dijawab berulang kali oleh Exco Selangor, Ir. Izham Hashim berkenaan proses dan menjawab tuduhan-tuduhan termasuk keupayaan dan skandal syarikat.

“Sebab itu dari awal pihak syarikat telah mengemukakan saman dan tuntutan kepada mereka yang terlibat.

“Insya-Allah peguam saya telah teliti dan esok (Rabu) serta paling lewat hari Khamis surat-surat tersebut akan sampai kepada Sanusi. Diharap tak larilah untuk terima surat saman tersebut,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, parti seteru, PN mutakhir ini dilihat galak untuk menabur fitnah dan mengitar semula perkara-perkara yang sebahagiannya sudah dijawab di DUN Selangor.

Tegasnya, ini membuktikan bahawa PN adalah parti terdesak untuk mencipta gelombang atau apa sahaja isu di Selangor, lalu menggunakannya untuk menabur fitnah mahu pun adu domba.

“Tuduhan (terhadap saya) peroleh 600 ekar percuma paling tak berasas. Kami dapat elaun paling besar pun hanya kuih karipap dalam mesyuarat. Mungkin itu pun dianggap sebagai rasuah.

“Sebab itu kita terpaksa ambil tindakan kerana perkara ini sudah lama dan berulang kali berlaku.

“Saya juga kena jaga kredibiliti. Bukan tak tahan dengan kritikan, tetapi kita kena pertahankan integriti dan tatakelola dalam pentadbiran negeri Selangor,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor