CYBERJAYA: Enjin carian, Google Search kini tampil dengan ciri baharu dikenali ‘Grammar check’ bagi memudahkan pengguna membuat pembetulan tatabahasa.
Menurut Google, ciri itu membolehkan pengguna menyemak sama ada penggunaan tatabahasa mereka betul atau sebaliknya berserta dengan cadangan penggunaan tatabahasa lain, lapor portal Amanz.
Ciri tersebut dilaporkan sama seakan ciri yang ditawarkan pada peranti Google Pixel, Gmail dan beberapa produk Google lain sebelum ini.
Untuk menggunakan ciri baharu itu, pengguna hanya perlu menaip bar carian di laman web Google apa-apa ayat dengan frasa tambahan “Grammar check” atau frasa lain yang lebih kurang sama.
Bagaimanapun, ciri berkenaan setakat ini terhad kepada bahasa Inggeris sahaja, ia juga dikuasakan dengan sistem kecerdasan buatan Google dan tidak pasti bila bahasa lain akan disokong.