HomeGlobalIkut ibu menetap di hutan, remaja ditemui maut dengan berat 18kg

Ikut ibu menetap di hutan, remaja ditemui maut dengan berat 18kg

SEORANG remaja lelaki yang ditemui maut di sebuah hutan belantara Colorado, Amerika Syarikat (AS) hanya memiliki berat 18 kilogram (kg) ketika hari kematiannya.

Remaja berusia 14 tahun yang tidak dikenali itu meninggal dunia bersama ibunya, Rebecca Vance, 42; dan ibu saudaranya, Christine Vance, 41, selepas ketiga-tiganya memutuskan untuk hidup di hutan di Colorado Springs pada musim panas lalu.

Laporan bedah siasat Pejabat Koroner Daerah Gunison seperti diperoleh Colorado Sun mendapati, ketiga-tiga individu tersebut meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan hipotermia.

Menurut laporan itu, remaja tersebut memiliki berat kurang separuh daripada purata berat remaja lelaki seusianya iaitu 51 kg.

Tin makanan kosong dan panduan hidup dilihat bersepah di tapak perkhemahan terpencil di Gunnison County, yang mana mayat mereka ditemui pada Julai.

Pada masa sama, tiada sebarang makanan atau alat pemanas kelihatan di lokasi tersebut.

Sementara itu, seorang pejalan kaki menemui mayat remaja tersebut  berhampiran Tapak Perkhemahan Gold Creek pada 9 Julai.

Para penyiasat pula menemui mayat ibu dan ibu saudara remaja tersebut di dalam sebuah khemah, yang terletak 160 kilometer (km) dari bekas tapak khemah mereka di Colorado Springs.

Ketiga-tiganya dilaporkan hilang sejak Oktober tahun lalu, manakala pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan mereka meninggal dunia pada musim sejuk.

Kesemua mayat mereka dilihat sangat kurus dan mereput, menurut laporan bedah siasat.

Masing-masing memakai beberapa lapisan pakaian dan rantai dengan loket salib.

Tapak perkhemahan di mana mayat ditemui telah dilanda salji lebat dan berada bawah paras beku pada musim sejuk lalu, lapor akhbar tempatan.

MULA HIDUP BAHARU

Bercakap kepada media antarabangsa, kakak tiri kepada dua wanita itu memberitahu bahawa remaja tersebut mempunyai perasaan bercampur baur sama ada untuk mengikut kehendak ibunya, yang mahu hidup tidak seperti manusia normal.

“Dia pada masa sama takut dan teruja. Dia baru berusia 13 tahun ketika mereka pergi.

“Dia juga buntu tentang kehidupan di luar sana, tetapi mahu bersama ibunya,” kata Trevala Jara kepada New York Post.

Jara berkata, Rebecca ingin memulakan hidup baharu dengan melarikan diri ke hutan dan meyakinkan Christine untuk menyertai mereka.

“Ini adalah idea Becky (Rebecca). Pada mulanya Christine tidak mahu mengikutnya, tetapi dia berubah fikiran tidak lama kemudian.

“Christine berpendapat mereka akan mempunyai masa depan lebih baik jika dia pergi bersama mereka. Dia juga tidak mahu kakak dan anak saudaranya hidup bersendirian,” katanya.

Rebecca yang dikenali sebagai seorang introvert dan tidak terlalu aktif di luar rumah, enggan mendengar pujuk rayu keluarga untuk membatalkan rancangannya.

Ibu tunggal itu juga enggan memberitahu ahli keluarganya tentang lokasi perkhemahan atau bagaimana mereka mampu bertahan pada musim sejuk di Colorado.

Keluarga itu juga pergi pada Ogos tahun lalu tanpa banyak persediaan, selain hanya menonton video YouTube tentang cara untuk bertahan hidup di luar rumah, menurut Jara.

 

 

 

Author

Pilihan Editor