HomeGlobal'Influencer' maut didakwa diet buah-buahan Malaysia

‘Influencer’ maut didakwa diet buah-buahan Malaysia

PEMPENGARUH vegetarian, Zhanna Samsonova dilapor ‘mati kebuluran’ selepas hidup  dengan hanya makan buah nangka dan durian sejak tujuh tahun lalu.

Warga Rusia itu — yang sering mempromosikan makanan mentah di Tiktok, Facebook dan Instagram dan lebih dikenali sebagai Zhanna D’Art dilaporkan meninggal dunia pada 21 Julai, selepas akhirnya mendapatkan rawatan perubatan semasa lawatan di Asia Tenggara.

Menurut New York Post, wanita berusia 39 tahun yang dietnya disifatkan sebagai ‘eksklusif buah-buahan eksotik di Malaysia’ telah jatuh sakit sejak beberapa bulan lalu dan enggan mendapatkan rawatan.

“Beberapa bulan lalu, di Sri Lanka, dia sudah kelihatan letih, kaki bengkak, selain keluar nanah.

“Mereka menghantarnya pulang untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, dia melarikan diri semula. Apabila saya melihatnya di Phuket, saya berasa ngeri,” kata seorang rakan yang tidak dikenali.

Seorang lagi rakannya, yang tinggal satu tingkat di atasnya berkata, mereka takut menemui mayatnya yang tidak bernyawa pada waktu pagi.

“Saya meyakinkannya untuk mendapatkan rawatan, tetapi tidak berjaya,” tambah rakan itu.

Bagaimanapun, ibu Samsonova mengaitkan kematian anak perempuannya dengan wabak taun tetapi setakat ini masih belum disahkan secara rasmi.

Pada masa sama, keluarga Samsonova sedang menunggu laporan perubatan dan sijil kematian yang akan menentukan punca rasmi kematiannya.

Samsonova sebelum ini mendedahkan bahawa, makanan mentah yang menjadi hidangan rutinnya diinspirasikan daripada rakan yang jauh lebih tua daripada usianya.

Wanita itu menggunakan platform media sosialnya untuk menyebarkan doktrin dietnya dan menjelaskan: “Saya makan makanan yang ringkas, meskipun saya mempunyai banyak pengalaman sebagai tukang masak makanan mentah. Saya suka mencipta resipi sendiri dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk makan lebih sihat.”

Dia juga mendakwa bahawa dirinya merupakan vegetarian selama empat tahun lepas, dengan hanya memakan buah-buahan, biji bunga matahari, smoothie dan jus buah-buahan

“Saya melihat badan dan minda saya berubah setiap hari. Saya suka saya yang baru, dan tidak pernah beralih kepada tabiat yang saya gunakan dahulu,” katanya.

Rakan-rakan Samsonova malangnya tidak bersetuju dan percaya bahawa pilihan makanan ‘sihat’nya harus dipersalahkan atas kematiannya.

Walaupun diet makanan mentah boleh memberi pelbagai manfaat kesihatan seperti penurunan berat badan, kesihatan jantung yang lebih baik dan risiko diabetes yang lebih rendah – terdapat keburukan untuk amalan ini terutamanya jika ia tidak dirancang dengan baik, menurut Healthline.

Antaranya termasuk kekurangan kalsium dan Vitamin D, yang diperlukan untuk tulang yang kuat.

Ini juga boleh membawa kepada tahap B12 yang tidak optimum, yang boleh mengakibatkan anemia, kerosakan sistem saraf, ketidaksuburan dan penyakit jantung.

Author

Pilihan Editor