SELEPAS memberi tekanan mental kepada Uyghur di tanah air sendiri, kini China bertindak mengintip kaum minoriti Muslim itu yang berperanan sebagai pejuang hak asasi di luar negara.
Lapor BBC, Beijing menggunakan taktik ancaman kepada keluarga mereka yang masih tinggal di China, dengan tujuan untuk menakut-nakutkan.
“Ini termasuk mengawal akses panggilan video kepada ahli keluarga di negara asal, “ dakwa laporan itu.
Memberi contoh situasi pelarian Uyghur yang dikenali sebagai Alim (bukan nama sebenar), pihak berkuasa Beijing menggunakan ibunya sebagai umpan bagi memastikan lelaki itu mematuhi arahan tidak masuk akal.
Ia antara lain memaksa lelaki itu menghadiri mesyuarat aktivis hak asasi manusia Uyghur, mengumpulkan bahan risikan dan menyampaikannya kepada China.
“Setiap kali ada protes anti-China di London, mereka akan menghubungi saya dan bertanya siapa yang akan hadir,” kata Alim seperti dilapor Wion.
Tambahnya, Beijing turut menawarkan wang kepadanya supaya dia boleh mendekati pemimpin pelbagai kempen yang turut disertai warga United Kingdom (UK).
Mahu atau tidak, Alim terpaksa mengikut kehendak Beijing, berikutan khuathir keluarganya akan dicederakan secara fizikal.
“Mereka menggunakan keluarga saya sebagai tebusan.
“Saya juga hidup dalam ketakutan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis di Universiti Sheffield, Dr David Tobin berkata, semua kaum Uyghur yang tinggal di luar China adalah mangsa penindasan transnasional.
“Memisahkan sesama ahli keluarga adalah taktik utama yang digunakan China.
“Meskipun ada di antara mereka yang tinggal di luar negara membuat panggilan telefon, ahli keluarga yang masih tinggal di China tidak akan menjawab kerana khuatir perbualan akan dipantau, seterusnya meletakkan diri mereka dalam bahaya,” katanya.
Sebelum ini, China menekan pelarian Uyghur yang tinggal di Turkiye, negara yang dianggap sebagai lokasi selamat untuk berlindung.
Hampir 80 peratus daripada 148 responden melaporkan ancaman serupa daripada pihak berkuasa China.
Sejak sekian lama, China dituduh oleh dunia barat, terutamanya Amerika Syarikat (AS) sebagai negara yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Islam Uyghur di wilayah Xinjiang.
Dalam laporan dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu, tindakan China di Xinjiang dianggap sebagai jenayah kemanusiaan.
Laporan itu dibuat selama bertahun-tahun, meskipun China berusaha untuk menyekatnya.
China turut menafikan bahawa negara itu mewujudkan kem tahanan buat kaum Uyghur, sebaliknya menamakannya sebagai kem latihan vokasional.
Presiden China, Xi Jinping sebelum ini menegaskan bahawa, Islam hanya boleh wujud di negara itu jika ia diubah mengikut orientasi China.