CYBERJAYA: Tular sebuah foto memaparkan gambar seorang wanita di sebuah universiti di China kelihatan mirip seperti ahli kumpulan muzik Korea Blackpink, Lisa.
Wanita dikenali sebagai ‘Miss Tang’ itu merupakan seorang pensyarah di Chongqing University of Posts and Telecommunications, lapor CNA.
Foto Miss Tang sedang mengajar dalam kelas kuliah tular di media sosial hasil perkongsian para pelajarnya yang turut terpukau melihat wajahnya persis idola Kpop, Lisa Blackpink.
Penularan foto itu di media sosial nyata membuatkan Miss Tang terkejut namun dia tidak berminat dengan perhatian yang diterimanya.
Malah, perkara itu turut membuatkan dia meminta rakan-rakannya supaya tidak berkongsi maklumat lanjut tentang dirinya.
“Saya tidak sangka gambar itu akan menjadi viral,” tulis Miss Tang di platform media sosialnya seperti dilapor portal Koreaboo.
Iras wajahnya yang seakan Lisa membuatkan ramai pelajar di universiti berkenaan berminat mengikuti kelas kuliahnya.
Malah, sebilangan pelajar yang obses dengan Lisa Blackpink sanggup berdiri di luar tingkap kelas kuliah semata-mata mahu melihat Miss Tang mengajar.
Turut dilaporkan bahawa warga net mula berminat mencari maklumat berkaitan wanita terbabit namun sehingga kini, tiada informasi terperinci berkaitan Miss Tang yang ditemui dalam internet.